google analytic

Nuffnang

Monday, June 10, 2013

Percutian ke Gold Coast, Australia (Hari ke-2, Currumbin Wildlife Sanctuary)

Hari kami dimulakan dengan nasi goreng cina kosong yang disediakan oleh Mama. Aku goreng ikan bilis yang kami bawa supaya ada bunyi krup krap (rangup) dan masin sikit.

Plan hari ni adalah naik Aquaduck, pegi Currumbin Wildlife Park, ke airport untuk komplen pasal GPS dan tuntut stroller Zara.

Tapi sebab kami bersiap lambat sangat, kami terlepas untuk naik trip Aquaduck jam 10.00. The next trip adalah pada pukul 11.30 tidak silap. Rasa macam buang masa saja. Jadi kami ubah plan ke Currumbin dahulu dan Aquaduck sebelah petang.

Currumbin Wildlife Park

Kami beli tiket AUD15 seorang (harga sebenar AUD49 untuk dewasa dan AUD33 untuk kanak-kanak) kecuali Zara masuk free. Sungguh berbaloi dapat voucher ticket discount sebab Currumbin Wildlife Park buat promosi May Mates Rates di Facebook. Ni la tiket paling murah aku survey. Ada website lain offer tiket dewasa pada harga tiket kanak-kanak.

 Bagi email add ke FB dorang, lepas tu dorang email voucher ni. Print dan tunjukkan di kaunter tiket.


Tunggu tram. Malas mau jalan kaki. Hehe.. strategi ialah round untuk tengok apa yang menarik dulu.

Lepas tu berhenti di tempat kangaru.
Emu, buaya, ular sawa dan wallabies pun ada di sini. Itik dan burung pun banyak.

Kanggaru yang selamba tidur di kalangan manusia yang hairan.


Lina with Emu.

Najis kangaru yang ada di mana-mana.



 Seronot sungguh dapat pegang kangaru. Acara wajib kalau datang ke Australia.

Singgah pula di taman koala. Ambil gambar sekeping untuk AUD20. Bulu koala itu amatlah gebunya.


Lepas dari Currumbin, kami menuju ke airport untuk komplen pasal GPS. Rupanya power plug kereta tu yang rosak. So, kena pulangkan kereta Hyundai tu dan dapat kereta sewa baru tanpa caj tambahan. Tapi kena isi minyak full dulu sebelum pulangkan.


Dapat KIA Carnival ni for the next 4 days. Kecil sedikit dari Hyundai IMAX. Tapi ada masalah tiada reverse sensor pula. Sabar sajalah. Nama pun Budget. Abang Edi siap terlanggar sedikit time reverse parking. Ada kesan langgar sikit. Tapi saya tidak risau sebab kami ada beli full cover protection.

Kembali ke hotel untuk hemat diri dan berehat sekejap sebelum ke Cavill Avenue untuk beli tiket Aquaduck. Sempat terjumpa keluarga dari Malaysia yang sedang bersedia untuk ke pasar malam di pantai Surfers Paradise. Sepanjang penginapan kami di hotel The Moorings of Cavill, ada lebih kurang 3 family Malaysia yang menginap di sini selain kami.

Kami menuju ke Aquaduck dan menerima berita mendukacitakan apabila diberitahu yang trip seterusnya telah penuh dan trip 5.30 dibatalkan sebab hari dah gelap. Bengongnya rasa. Jadi, kami pun beli tiket untuk besok paginya pada kadar AUD95 untuk family dan AUD35 untuk dewasa.

Tanpa membuang masa, kami pun pegi cari makan lagi. Kali ni kami makan di restoran Sahara yang menyediakan makanan halal. Kali ni kami order nasi dan kebab ayam + lamb. Nasi dia cam lain sikit. Butir nasinya sedikit lembik dan bulat membujur. Mama order fetish kebab untuk dorang makan 3 orang sama Nurul dan Lina. Aku sempat tanya mana kedai jual ayam segar halal. Orang restoran tu bagitau aku boleh beli di kedai Asim's Halal Meat di Southport.

Lepas makan, kami pegi beli souvenir di kedai souvenir orang Malaysia sebelah restoran cina muslim sombong semalam. Then, Abang Edi beli t-shirt di HRC Surfers Paradise.

Habis urusan di Cavill Avenue, kami berpecah. Mama, Nurul dan Lina pegi ke Woolworth untuk beli groceries. Kami pula ke airport untuk ambil stroller Zara.

Nasib baik stroller Zara ada. Dan nasib baik juga ground staff AirAsia X di airport Gold Coast tu baik sangat melayan kami ni. Kalau tiada stroller tu, memang mati kutu aku dan Abang Edi melayan Zara yang malas jalan dan selalu minta dukung. Terpaksa beli baru.

Time macam ni la aku terfikir, betapa berbaloinya kami sewa kereta kerana terpaksa berulang-alik ke airport untuk menguruskan hal remeh seperti kes GPS dan stroller Zara ni. Dan tambah berbaloi kerana kami sewa kereta dengan syarikat yang ada kaunter di airport. Walaupun mahal sedikit jika dibandingkan dengan rate oleh syarikat sewa kereta yang tiada kaunter di airport tapi amatlah memudahkan kami. Sebab kami tidak perlu bayar parking airport yang mahal. Guna saja parking bay syarikat Budget yang ada. Free of charge. Lepas tu, sudahlah kebanyakan masa hujan ja sepanjang masa kami di sana. Bayangkan la mau bergerak dengan rombongan yang agak besar dengan ada budak-budak lagi tu. Memang ngam la sewa kereta ni. 

Lepas balik hotel, macam biasa, anak berendam dalam bath tub.
Dan aku pula kena menyiapkan persediaan untuk besok sebab besok kena sedia awal naik Aquaduck.

Percutian ke Gold Coast, Australia (Hari ke-3, Aquaduck, SeaWorld dan Slingshot)



Percutian ke Gold Coast, Australia (Hari Pertama)

Sampai di airport Coolangatta, hujan baru berhenti. Angin kuat sangat. Seronok pula aku bila kena tolak dengan angin kuat tu.
Si Addin boleh cakap macam ni "Thanks mummy sebab bawa Addin pergi Australia. Addin suka sangat.."
Walaupun aku rasa macam iklan, tapi aku pun jawab la dengan hati yang berbunga-bunga "Anything for you my dear.."


Alhamdulillah, urusan kami melepasi imigresen dan kastam pun smooth saja. Semua bekalan makanan lepas. Walaupun pakcik kastam tu membelek lama pek beras yang aku bawa, mencari bubuk atau kutu beras mungkin, lepas tu, done! Pakcik kastam tu sempat cakap hari ni cuaca tidak baik, aik… aku ingat baru lepas hujan.. rupanya bila sampai ruang arrival baru la aku perasan yang rupa-rupanya hujan sudah turun semula. Lebat pula tu.

Oleh kerana kami orang terawal keluar dari kapal, jadi urusan imigresen, ambil luggage dan kastam memang cemerlang. Lama la juga kami menunggu dorang Mama, Nurul dan Lina di arrival. Ada free wifi. Tapi betebiat.

Lepas tu kami start cari kereta sewa. Memang silap la cari kereta sewa last minute. Semua pun mahal. Kami saja tidak sewa kereta pada mulanya sebab kunun Abang Edi cakap mo naik bas ja. Mau tengok pemandangan. Aku pun ok ja la sebab berdasarkan pembacaan dari internet, sistem bas di Gold Coast adalah sangat cekap.   

Tapi boleh pula just before kami naik airport limo ke LCCT, Abang Edi cakap kena cari kereta sewa sebab kawan dia yang sudah merasa pegi ke Gold Coast yang nasihat macam tu. Mana la sempat aku mo survey di internet lagi.

Sudahnya, di airport tu, kami pun tanya la kaunter kereta sewa satu persatu. Akhirnya, kami dapat harga paling murah dengan syarikat Budget pada kadar AUD575 untuk 5 hari, kereta 8 seater Hyundai, lengkap dengan full protection, GPS dan 1 child seat untuk Zara.Tapi kena pakai kad kredit. Cash dorang tak layan.

Hyundai Imax. Boleh tahan.


Perjalanan ke Surfers Paradise dari airport amatlah mudahnya. Sesampai kami di hotel The Moorings on Cavill pada jam 9 lebih macam tu, aku diberitahu yang bilik kami sudah sedia. Yeay! Aku book apartment 2 bedroom untuk kami sekeluarga dan apartment 1 bedroom untuk Mama, Nurul dan Lina.

Lepas letak beg semua, ingatkan mau pegi shopping cari kasut Zara sebab kami bawa sandal dia ja. Plan asal untuk pusing-pusing Cavill Avenue memang tidak ngam sebab cuaca sedang hujan. Jadi sambil tunggu semua bersiap, aku sempat masak 2 bungkus maggi untuk mengalas perut kami berempat.

Tiba-tiba, Abang Edi bagitau yang stroller si Zara tertinggal di airport. Macamana la kami boleh tertinggal. Ni mesti kes excited gila punya pasal. Yang aku heran, walaupun stroller tu bertag kuning premium, tapi tidak juga keluar awal. Tu la yang bikin lupa tu. Tambah pula dengan Abang Edi yang tidak sabar untuk ke arrival sebab mau smoking. Siapa yang salah. Semua salah.

Sudahnya, instead of shopping, kami terpaksa ke airport semula untuk menuntut stroller si Zara. Tapi, usaha kami sia-sia sebab tiada kaunter AirAsiaX yang buka memandangkan penerbangan AAX untuk hari tu semua sudah selesai. Jadi, kena la menuntut pada keesokkan harinya pada sebelah malam sebab time tu baru ada flight AAX.

Bergerak dari airport, kunun mau ke Harbour Point iaitu tempat factory outlet shopping. Dibuatnya, GPS kami pula habis bateri sebab powerplug kereta Hyundai yang kami sewa tu tidak berfungsi. Jauh pula tu. Sudahnya, kami kembali saja ke hotel berpandukan GPS henpon aku. Parking kereta dan terus ke Cavill Avenue.

Lokasi penggambaran wajib di Surfers Paradise

Singgah di Optus beli prepaid unlimited call and data for 15 days for AUD30. Data adalah penting untuk tujuan internet, Facebook, whatsapp dan cek email. Dalam masa yang sama, sesuka hati call sesiapa saja yang saya suka. Abang Edi pula guna data roaming plan Maxis.


Jam belum menunjukkan jam 5 petang. Tapi kami sudah mula lapar. Mau masak sendiri, macam tiada mood pula. Aku pun bawa rombongan ke restoran Golden Legend Chinese seafood tapi masa buka adalah pada jam 5.30 petang. Then, waitress tu suruh kami duduk ja sambil tunjuk meja dan bagi menu. Ini sudah bagus. Mungkin kasihan tengok kami yang kelaparan.

Bila kami sudah duduk tu tiada siapa yang attend untuk ambil menu. Kami sudah semakin lapar. Kalau mau tunggu dorang masak pun sure lambat lagi. Menu pun mahal, rasa macam tidak berbaloi ja. Jadi, kami pun blah saja keluar untuk ke tempat makan yang lebih segera. Time kami keluar tu baru la terhegeh-hegeh waitress tanya mau makan apa. Aku selamba cakap kami sudah lapar, tiada masa mau tunggu. Boleh pula waitress tu cakap “Wasting my time”.. kurang ajar betul la. Perasan bagus la tu migrate ke negara orang. Memang tidak layak la dorang dapat duit Aussie aku. Lantak la. Bukan kami hadap sangat mau makan sana pun. Setakat Chinese halal food, belambak di KL.

Kesudahannya, makan kebab yang bagak besar susah mau habis. Abang Edi order pizza. Tak sedap. Tapi bungkus ja bawa balik hotel.

Sebelum balik hotel, membeli belah groceries di Woolworth dulu. Susu segar, roti, pisang, mixed marinated seafood.

Bayar sendiri guna mesin layan diri di kaunter.

Sampai di hotel, aku unpack semua pakaian masuk dalam kabinet.
Anak-anak bergembira berendam dalam bath tub.
Semua pakaian untuk hari ni aku basuh guna laundry yang disediakan. 
Begitulah hari pertama kami di Gold Coast. Aku rasa macam bengong ja.
Semua penat. Tidur awal. Sebab kul 8 malam pun rasa macam 10 malam ja sana.
Sedangkan baru kul 6 petang di Malaysia :)

Addin dan Zara masih boleh bergembira dengan dvd Bola Kampung yang aku saja bawa dr KL.
Tidak la budak-budak tu boring. Tapi banyak ja pun channel cerita kartun di TV.

Malam tu, tetiba si Zara kejutkan aku. Hidungnya berdarah.
Terkejut aku. Habis berdarah tilam. Baju aku dan si Zara pun sama.
Kami tidur berdua. Abang Edi dan Addin tidur di second room.
Lepas cuci apa yang patut, kami sambung tidur.

Ni la first time si Zara berdarah hidung.
Si Addin selalu sudah. Mungkin sebab faktor cuaca kot.
Nasib baik si Zara ok ja.
Lega aku. Sambung tidur.

Percutian ke Gold Coast, Australia (Hari ke-2, Currumbin Wildlife Sanctuary)

Percutian ke Australia (Flight KUL - OOL)

Perjalanan dimulakan dengan mengambil airport limo dari rumah ke LCCT pada pukul 6.30 petang. Kos airport limo untuk 7 orang murah ja, lebih kurang RM100++.

Aku beli tiket basic economy (tanpa makanan, luggage, seat dan insurans) tapi dapat duduk premium flatbed seat!! Ni semua sebab aku sign-up dengan Optiontown sehari lepas aku beli tiket flight AAX. Selalu berdoa supaya kami dapat naiktaraf seat ke premium sebab aku tidak dapat bayangkan duduk dalam flight 8 jam tanpa dapat baring dengan selesa. Dalam masa yang sama, aku tidak mau si Addin dan Zara jadi cranky sebab dorang boring dengan ruang yang sempit.

Mula-mula risau juga kalau harapan tipis sebab kami ni berempat sedangkan premium seat ada 12 sahaja. 3 seat sudah dibeli. Maknanya ada 9 seat sahaja yang tinggal. Keputusan naiktaraf oleh Optiontown hanya akan diketahui dalam tempoh seawal-awalnya 3 hari hingga selwat-lewatnya 4 jam sebelum masa penerbangan.

Sekiranya kami tidak dapat upgrade, semua kos yang telah dibayar (RM1600 untuk 4 orang sehala kecuali caj pentadbiran RM40) akan dipulangkan dalam tempoh lima hari selepas masa penerbangan. Sangat berbaloi kalau dapat naiktaraf ke premium seat pada kadar RM400 sehala sahaja!!! Harga premium seat sebenar untuk penerbangan dari KUL ke OOL time aku booking adalah lebih daripada RM2000 seorang untuk satu hala.

Sakit otak juga time menunggu keputusan naiktaraf tu. Sebab kalau dibuatnya keputusan dukacita dan hanya diberitahu ngam-ngam 4 jam sebelum penerbangan, maknanya aku tidak dapat booking makanan lebih awal, kurang pilihan untuk seat yang best dan tidak dapat beli kuota luggage pada harga online yang lebih murah. Kalau beli makanan, seat dan luggage tu lebih awal pula akan incur cost lebih kurang RM400 (untuk penerbangan sehala) yang akan hangus kalau aku dapat upgrade ke premium seat sebab dengan premium seat semua tu kena bagi free. 

Nasib baik aku dapat tahu keputusan naiktaraf 36 jam sebelum masa penerbangan. Lega rasa hati. Dapatlah kami berterbangan bersuka ria dengan premium check-in, tidak perlu berbaris panjang untuk departure, free first meal (aku book Asian Meal untuk aku, Nasi Lemak Pak Nasir untuk Addin dan Zara dan Indian Meal untuk Abang Edi), free luggage kuota 25kg untuk seorang, seat yang boleh diadjust untuk jadi katil, bantal dan selimut yang selesa, tidak perlu berebut toilet sebab shared by 12 person sahaja dan menjadi orang terawal untuk turun dari kapal terbang. Macam tidak sangka saja kan boleh dapat servis tip top dari AirAsia X. Tapi itu la kenyataannya kalau naik premium seat.

Email yang amat melegakan hati. Tidak perlu beli SSR (Special Services Required)

Dalam penerbangan KUL ke OOL, si Zara meragam tidak mau tidur sorang dan mau tidur dengan aku. Oleh kerana terasa rugi sebab satu seat kosong, jadi aku panggil mama aku untuk tidur di seat aku. Time mau landing suda, baru Mama kembali ke seat asal. Mama, Nurul dan Lina duduk di Quiet Zone (zone tiada kanak-kanak).

 Addin yang gembira sebab boleh berjoka main ipad sampai lebam. Dijamin sentiasa ada bateri sebab ada powerpoint untuk caj.

Saya pun turut gembira hep hep horay..


Gold Coast!! Cuaca hujan di situ..

Sudah tidak sabar untuk turun.. Bersiap sedia dengan jaket.

Peringatan kepada diri sendiri: Nasi Lemak Pak Nasir sentiasa menjadi pilihan kalau kami naik penerbangan AirAsia. Kali ni, aku try Asian Meal atau Nasi Kari Hijau Ayam. Aku rasa karinya amat sedap. Tidak pedas sangat dan cukup lemak. Mengenyangkan. Tidak perlu order untuk second meal. 

Percutian ke Gold Coast, Australia (Hari Pertama)


Percutian ke Australia (Persediaan)


Trip: Australia – Gold Coast (5 malam) dan Sydney (3 malam)
Tarikh: 27 Mei 2013 hingga 5 Jun 2013
Ahli trip: Aku, Abang Edi, Addin, Zara, Mama, Nurul dan Lina (Gold Coast trip sahaja)

Been waiting for this trip since January 2013. Excited sangat!! Sudah naik boring membaca pengalaman orang Malaysia melancong ke Australia melalui forum dan blog. Aku mo merasa sendiri pengalaman tu.

Jadi, sebelum memulakan perjalanan, kena ada checklist:

1.    Passport yang masih sahlaku – semua passport kami masih valid sekurang-kurangnya sampai 2016. Aku ada tabiat selalu renew passport kami anak beranak walaupun tiada plan ke luar negara. Bengong sedikit di situ.

2.    Tiket penerbangan – aku beli ketika ada promosi yang tidaklah murah sangat. 3 bulan sebelum penerbangan. Kita selalu sangka sekiranya kita beli tiket penerbangan lebih awal maka kita akan mendapat harga tiket yang jauh lebih murah. Ini adalah salah. Kadangkala, syarikat penerbangan suka bagi promosi tiket murah walaupun tempoh penerbangan hanya tinggal 1 atau 2 bulan sahaja lagi. Ini terjadi apabila MAS ada buat promosi ke tiket pergi balik KL ke Sydney untuk penerbangan bulan Mei pada harga RM4000++ (2 dewasa dan 2 kanak-kanak).

Gila murah daripada tiket AirAsia X kami!!! Cara terbaik ialah selalu survey website syarikat penerbangan dan beli tiket ketika anda rasa tiket tulah yang paling murah anda boleh dapat. 

3.    Visa ETA – sudah buat dalam bulan April di travel agent di Labuan hanya pada RM20 untuk seorang. Mama punya ada sedikit masalah sebab travel agent tu letak surname dan given name terbalik. Mama pula tersedar agak lewat. Travel agent pula macam tiada usaha berkesan. Sudahnya, si Nurul buat visa baru untuk Mama di website embassy Australia. Tiada masalah ketika pemeriksaan imigresen. Cuma ada lewat sikit sebab pegawai imigresen di Australia bertanyakan Mama beberapa soalan ringkas. Itu saja.

Moralnya di sini, buat visa ETA dengan travel agent adalah lebih murah daripada buat sendiri. Tapi kena cek slip keputusan ETA sebaik dapat daripada travel agent untuk pastikan semua maklumat betul.

4.    Australia notes – sudah tukar siap-siap di Midvalley. Time kami beli tu, nilai matawang Australia sedang menurun lepas pilihanraya di Malaysia. Dalam bulan Februari dan Mac, rate boleh mencecah 3.3 tapi rate time aku beli jadi 3.03. Satu jam lepas aku tukar tu, rate jadi 3.02. Tensyen aku.

Sebenarnya, money changer di Giant dekat rumah kami pun boleh bagi rate murah. Ada mahal 0.01 ja daripada money changer di Midvalley. Kalau mau kira duit minyak dan parking semua, berbaloi la juga tukar duit dekat-dekat walaupun mahal sikit. Tapi stok duit Australia dorang selalu cepat habis. Abang Edi buat teori yang ramai penduduk Seri Kembangan mau ke Australia untuk cuti sekolah tu. Huhuhu.. 

Kami bawa cash AUD3700, Mama bawa cash AUD3300. Sudah plan untuk tidak bershopping sangat dan malas mau swipe kad kredit sekiranya tidak perlu sebab berdasarkan pembacaan aku, merchant di Australia suka pindahkan caj 2% kepada pembeli. Jadinya, aku dan Abang Edi prefer bawa cash saja. 

5.    Pakaian tidur (2 pasang), pakaian jalan (4 pasang), pakaian dalam, extra stokin dan toiletries. Selipar pun aku bawa kunun untuk bersiar-siar di pantai. Tidak perlu bawa baju banyak-banyak sebab ada mesin basuh dan dryer disediakan di hotel Gold Coast dan Sydney yang aku booking.Hari-hari boleh mendobi sendiri.

6.    Bekalan makanan – beras pek kecil 3 bungkus, 1 botol sos cili, 2 bungkus breakfast cereal pek kecil pelbagai, minyak masak botol kecil, garam, kunyit, pes segera, biskut Jacob 1 kotak, biskut Oat cip coklat 2 bungkus, kaya, peanut butter, 2 pek maggi bungkus, 1 pek maggi cup, 2 tin sardine, 1 pek kecil milo, 1 pek kecil Sabah Tea dan 1 bungkus gula peket Giant.

Tidak dilupakan 1 tupperware masak nasi guna microwave dan 2 tupperware boleh penyek si Tasha punya dan 2 pasang sudu garfu. Semua habis kecuali sos cili (tinggal sedikit, aku tinggalkan ja di hotel), sabah tea, gula dan beberapa pes masakan segera yang aku bawa balik Malaysia. Kami lebih banyak minum milo. Minum teh pula guna uncang yang disediakan oleh hotel.

7.    Ubat-ubatan – aku bawa ubat demam, selsema, batuk, panadol, cool fever, plaster, losyen mustajab dan minyak yuyi. Losyen dan moisturizer dilupa jangan. Walaupun kami hari-hari tidak lupa pakai losyen dan moisturizer, tapi kering juga la kulit muka, tangan dan kaki. Especially muka si Addin dan Zara. Tapi, lepas 2-3 hari balik Malaysia, kulit muka normal semula.

8.    Tidak dilupakan, aku siap bawa sabun taharah untuk cuci periuk dan pinggan mangkuk (mana tau ada unsur najis mughallazah di situ), axion pek kecil dan sabun breeze untuk cuci kain – sabun cuci pinggan ada disediakan 3 pek kecil untuk digunakan dengan dishwasher, tapi aku pula tidak pandai guna dishwasher tu. Detergen cuci kain pula tidak disediakan. Nasib baik aku bawa sendiri.

9. Jaket sejuk – semua jaket kami beli bercirikan water proof dan berhud sebab kebetulan kita kami di Australia, cuaca sana suka hujan sekejap-sekejap tanpa warning.

10. Kasut tertutup yang selesa - Kasut Abang Edi dan Addin memang sudah sedia ada. Kasut Zara pula sudah tidak boleh pakai sebab kaki si Zara sudah membesar. Jadi kami tangguhkan pembelian kasut Zara di Gold Coast saja. Untuk aku pula beli brand Converse All Star sebab brand ni saja yang ada size aku (size 1) dengan design dewasa dan tidak keanak-anakan. Si Lina pula mau beli kasut but kunun tapi aku cakap tiada faedahnya pasal membazir dan tidak sesuai untuk dipakai di Malaysia (tidakkan mau pakai di Australia ja). Sudahnya, telahan aku betul sebab aku tengok orang local Australia pakai kasut kanvas biasa ja. Orang bukan local ja yang beria-ia pakai but. Tour driver kami ke Blue Mountain bagitau orang Ozzie tidak pakai UGG boot pun walaupun jenama tu asal dari Ozzie sebab dorang rasa kasut tu macam bedroom slipper.

11.    Lain-lain – bawa payung dan raincoat adalah langkah yang bijak. Tapi aku tidak bawa. Nasib baik hujan di Australia ni jenis kejap-kejap dan tidaklah lebat sangat. So, jaket kami adalah memadai. Mama dan Nurul beli payung dan raincoat di Gold Coast. Mahai.   

12.    Insurans perjalanan – amat penting dan berguna sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini dan boleh merugikan. Contohnya, tiba-tiba menghidap penyakit cacar air, mengalami kemalangan, masuk hospital di negara orang, kehilangan luggage, rumah disamun ketika percutian etc. Aku kena cover dengan insuran perjalanan yang diuruskan oleh ofis lepas permohonan perjalanan ke luar negeri aku diluluskan oleh bos. Tapi aku beli juga insurans perjalanan Etiqa untuk cover family aku. Sedikit mahal daripada competitor yang lain tapi senang untuk dibeli melalui Maybank2u. Alhamdulillah, tiada perkara yang tidak diingini berlaku.

13. Charger, adapter dan extension - Hah.. yang ni kalau tiada pun bole jadi mati kutu.. jangan la lupa bawa charger tu.. especially kalau kehidupan anda diselubungi segala gajet.. dan kalau sudah bawa charger tu, jangan la pula lupa bawa international adapter..di Australia, plug point pin dorang memang totally different dengan Malaysia. Malaysia guna 3 pin, di Australia guna 2 pin. Jadi, kalau bawa segala gajet, tapi tiada adapter pun, memang bole bikin haru.. last but not least, bawa la extension juga. Ikut suka la, bawa lebih adapter, tidak perlu bawa extension. Tapi, kalau ada satu adapter ja, elok la bawa extension. Tambah kalau banyak gajet yang nak dicaj. Hanphone la, ipad la, kamera lagi, notebook lagi.. tidak la berebut-rebut nanti :)

Ok. Enough with preparation. Jom kita ke Australia!

Percutian ke Australia (Flight KUL - OOL)

Monday, May 27, 2013

Satu pengembaraan

Akhirnya, waktu yang telah lama ditunggu bakal tiba.

Pengembaraan akan bermula.
Sangat excited.

Dulu, tidak pernah se'excited' ini untuk bercuti terutamanya ketika cuti sekolah.
Seboleh mungkin, akan bercuti ketika bukan musim cuti kerana lebih murah dan tidak ramai orang.
Time cuti sekolah, bagi can kepada kawan-kawan untuk entertain anak-anak mereka yang dapat rehat ketika cuti sekolah.

Sekarang, turn aku pula.
Lokasi belum dapat diberitahu sebab pengembaraan belum sempurna.
Kalau dah jadi dan lengkap - akan letak dalam blog ni sebagai tanda kenangan dan tips kepada kawan-kawan :)

Doakan semua selamat.
Niat perjalanan ini untuk menggembirakan hati mama dan Addin dan Zara.
Mau mengagumi dan mensyukuri ciptaan Allah.

Semoga dipermudahkan. Amin.

Tata :)




Monday, May 20, 2013

Cabut gigi



Selasa baru-baru ni, lepas balik opis ja, aku terus bergegas ke KAFA untuk fetch Addin. Mau bawa dia ke dental clinic.
Gigi kacipnya di bahagian bawah (sebelah gigi yang sudah dicabut sendiri seperti di entry) sudah start bergoyang dalam tempoh seminggu.
Suruh cabut sendiri takut. Aku pun cakap la, kalau takut mau cabut sendiri, mummy bawa ja ke dentist.
Addin pun dengan beraninya cakap, bawa je la.

Aku pun fikir, ini peluang baik. Gigi dia memang dah bergoyang. Bukan susah pun mau cabut. Aku mau pengalaman cabut gigi Addin yang pertama di klinik akan menjadi pengalaman yang indah. So, kalau si Addin perlu cabut gigi lagi, tidak la dia takut.
Apa lagi, aku set appointment, datang klinik hari Selasa lepas time sekolah.

Sampai di klinik, Addin minta belon.
Dentist ni memang baik hati, bagi 2 biji belon, sebab dia tau aku ada 2 orang anak.

Mula-mula ja nampak macam berani si Addin ni, siap bagitau ustazah dan kawan-kawan konon mau pegi dentist cabut gigi. Tapi sebenarnya takut. Bila dentist suruh duduk, Addin tanak.

Dentist: Addin kan baik.. mari tunjuk gigi kat Dr.
Addin: Tanak.. Addin nak balik.
Aku: Aik.. ngada.. tadi mau cabut gigi sangat. (Aku macam mau naik angin suda)
Dentist: Ini first time ye dia cabut gigi kat klinik?
Aku: Haah Dr.. sebelum ni cabut sendiri.
Dentist: Oooo.. patut la dia takut.. Jom la Addin.. cabut gigi tak sakit..
Addin buat perangai.

Dentist: Takpe la Addin.. kalau Addin tanak tunjuk kat Dr., tunjuk je kat Mummy..
Aku pun tunjuk dekat dentist gigi bawah Addin yang bergoyang.

Dentist: Oooo.. dah goyang.. kalau macam tu, Dr. bagi letak jeli je. Kalau Addin cabut gigi, nanti mummy beli aiskrim. (Sambil senyum kepada aku).
Aku: Haah.. kalau Addin cabut gigi, mummy bagi Addin aiskrim.
Tapi budak ni masih tak makan saman. Apa la sangat aiskrim. Kalau umpan si Zara dengan aiskrim, jalan la kot. Dengan Addin, dia sudah tidak heran.

Dentist: You nak tau, ada hari tu patient I, dia bawa anak dia cabut gigi. Lepas tu dia belikan aiskrim Mat Cool tu. Dapat PSP! Pastu bapa dia siap cakap, ni kalau bertuah selalu macam ni, cabut gigi 5 kali, dapat 5 PSP.
Aku: Wah.. seronoknya.. bertuah betul dia ye.
Addin: Ha… Addin nak PSP jugak.
Aku: Kalau nak PSP, kena cabut gigi dulu.  (Entah la bila aku mau beli PSP.. terpaksa la buat janji pelesu aka janji manismu).
Baru ada ipad pun suda lupa dunia, inikan pula ada PSP. Cheh. 
 
Dentist: Mari Dr. letak jeli ni sikit. (Addin berjalan sikit menghampiri Dr.) Addin kan baik… (Sambil meletakkan gel di gigi Addin yang bergoyang. Addin berdiri ja dekat dentist).
Addin: Panas.. panas..
Dentist: Ooo.. ni mesti panas pasal jeli tu kena bibir Addin.. Bagi Dr. lap supaya tak panas.
Di tangan dentist tu sudah ada ‘ragum’ cabut gigi yang ditutup dengan kapas.

Dentist: Dr. lap ye.. (sambil cabut gigi Addin)..
Taraaa…….
Aku: Ha…. Dah cabut pun gigi Addin.. kejap je..
Addin terpinga-pinga. Masih belum sedar yang giginya sudah dicabut.

Sukanya aku. Aku siap tepuk tangan!
Sebelum balik rumah, singgah McD dulu beli aiskrim. Malas aku mau cari Mat Cool.

Addin pula keep bragging. Dia kata kawan dia penakut sebab kawan dia cerita pengalaman dorang menangis cabut gigi. Addin cakap tak sakit pun. Kejap je 3 saat! Kui kui kui. Wish dia tidak takut lagi untuk duduk atas patient seat tu. Boleh la bawa untuk tampal gigi pula :)

Berterima kasih sangat dengan dentist yang berjaya cabut gigi Addin. Pandai betul layan kanak-kanak. Ini baru la dentist yang sejati. Pandai ambil hati patient.

Sah la ni. Memang family aku mengikat kontrak tidak rasmi dengan dentist ni.Hohoho..
Semoga rezeki dentist tu dipermudahkan. Amin :)

Monday, May 13, 2013

April tiba

Kesiannya dengan blog aku nan satu ni.
Macam tiada mama.

Sampai hati kena tinggal sebulan lebey.

Ada banyak peristiwa.
Tapi entah la. Macam banyak ja yang tidak sesuai untuk dicerita.

17 April tu balik Labuan. Kebetulan si Tasha baru bersalin anak ke-2 dan kawan aku dari zaman sekolah iaitu si Alen kawin.

Mula-mula plan balik berdua ja sama si Zara. Tup tap, si Addin mau ikut pula. Sedangkan sebelum tu beria tidak mau balik Labuan. Boring la, nak teman daddy la, hape la.

Sebenarnya si Addin memang kurang gemar balik Labuan. Mungkin kurang ngam di jiwa kanak-kanaknya.

Tapi lepas Mama pasang aircond di ruang tamu (sebelum ni di bilik tidur ja), pasang Astro Beyond lengkap dengan pakej kartun, pasang Streamyx (di kampung aku belum Unifi ready lagi) - baru la bersemangat si Addin.

Tambahan pula, Tasha ada baby baru. Namanya Eryna. Addin memang suka layan budak kecil. Baik betul anak aku sorang ni. Boleh jadi bibik jaga budak. Tapi suka bergaduh dengan Zara.

Jadinya, kelam kabut la aku buat surat rasmi mencutikan Addin dari sekolah 3 hari. Lepas tu, terpaksa minta ehsan Nurul jadi 'pengiring' si Addin naik AirAsia sebab dia belum layak jadi Young Passenger Travelling Alone. Kalau dengan MAS pun, kena tunggu genap 7 tahun.

Sesampai di Labuan (aku dan Zara sampai dulu naik flight malam sebelum tu), Addin pandai request mau pergi rumah Nenek Amit la, Nenek Tengah la (semua mama sedara aku) - sebab dia tau ramai anak-anak cousin aku yang sebaya dia.

Our little Eryna. Birthday dia 11.30 malam 10 April 2013. Lagi 30 minit mau sama birthday dengan birthday arwah bapa. Kalau arwah bapa masih hidup, mesti jadi cucu kesayangan ni. Si Eryna ni jenis baby yang tidak banyak songeh. Menyusu badan tiada masalah. Tidur pun jenis lena sangat-sangat tanpa perlu dibedung. Alhamdulillah. 




 Di wedding si Alen. Alen sekarang suda jadi Mrs. Fabien Le Gad. Setiap kali Krismas balik kampung sana France. Semoga berbahagia hingga akhir hayat. Yang bestnya, time ni boleh jumpa kawan-kawan lama zaman sekolah. Macam small reunion pula.


Thursday, March 14, 2013

Parents = Teachers

Parents yang mempunyai anak baru sekolah (sama ada kindergarten dan sekolah rendah), lazimnya ada isu ni:

"Cikgu Addin cakap macam ni.. mummy cakap tu tak betul"
"Tak boleh buat macam tu mummy.. nanti cikgu marah"

Cikgu sahaja yang betul :)
Saya suka kerana jika anak saya berpendapat begitu bermakna cikgunya sudah menjalankan tugas dengan baik dan mendapat kepercayaan anak saya.

Tetapi boleh menjadi masalah sekiranya mungkin ada kesilapan di pihak cikgu atau apabila si ibu bapa mengajar jalan penyelesaian yang lebih berkesan daripada kaedah konsensional oleh pihak guru, ditolak mentah-mentah oleh si anak.

Semalam, saya membantu anak saya membuat kerja sekolah matematik.
Ternyata ada sedikit kesukaran - besar kemungkinan kerana si Addin tidak memberikan sepenuh perhatian dan kurang faham konsep.

Jadi, saya membantu Addin. Keengganan Addin untuk mengikut cara saya menyebabkan saya menjadi lebih tegas. Ketegasan saya menyebabkan Addin menangis. Saya berusaha sedaya mungkin supaya Addin faham konsep. Alhamdulillah, dia faham.

Teringat pula zaman sekolah rendah dulu, kalau saya tidak faham atau lambat pickup ketika membuat kerja rumah matematik, memang akan dicubit sehingga biru oleh arwah bapa. Tetapi saya tidak berani untuk membantah kerana 1) budak zaman 80an memang tidak pandai melawan dan menjawab balik, 2) bapa adalah seorang yang tegas dan 3) kebetulan bapa adalah seorang guru matematikdi sekolah yang sama dengan tempat saya bersekolah. Persepsi saya,  bapa ialah seorang guru. Tetapi, dengan mama saya pula, saya tidak mempercayai cara ajaran beliau. Sebab, dia guru di sekolah lain. ;p

Usai membuat kerja rumah, Addin mencapai pemadam untuk memadam kesan 'contengan' jalan kerja yang diajar oleh saya. Saya menegahnya.

"Nanti cikgu marah".
"Cikgu Addin takkan marah. Kalau dia marah, bagitau mummy. Nanti mummy akan jumpa cikgu tu".

Saya yakin cikgu Addin tidak akan menegur kesan 'contengan' itu kerana 'contengan' itu bermotif. Pada pendapat saya, contengan itu ada 2 tanda positif. 1) In doing math, the messier, the better. 2) Contengan dalam kerja rumah  itu (dalam buku aktiviti milik pelajar dan bukan buku teks yang dipinjam) bermakna ibu bapa memainkan peranan dalam membantu anak-anak memahami konsep pelajaran. Jadi, sepatutnya guru itu patut berterima kasih.

Saya juga tidak lupa menitipkan pesan
"Dalam matematik, mesti ada kesan conteng untuk jalan kerja. Kalau ada jawapan sahaja, itu mungkin kerja tiru. Tapi dalam subjek lain, mesti buat secantik dan sekemas mungkin."

Part yang ni paling tak tahan,
"Addin mesti percaya mummy dan daddy. Mummy dan daddy pun pandai matematik macam cikgu Addin, tapi kami tak jadi cikgu. Addin kena dengar cakap cikgu Addin tapi Addin mesti juga percaya mummy dan daddy." 

p/s: Tidak pernah dan tidak akan mampu jadi cikgu sekolah. Hanya mampu jadi cikgu anak-anak sendiri. Greatest gratitude to my teachers dan ahli keluarga yang bergelar guru - Bapa, Mama, Tasha dan Aqil.

Monday, March 11, 2013

Gigi kekal

Kisahnya, satu gigi depan bahagian bawah si Addin sudah mula bergoyang since 2 bulan yang lepas.
Kami tau sebab dentist yang perasan bila abang Edi bawa Addin untuk teeth scaling.
Dentist tu pesan supaya Addin tolak gigi tu guna lidah. 

Aku dan Abang Edi buat biasa ja.
Sehinggalah pada hari Sabtu yang lepas apabila aku perasan rupanya ada gigi kekal yang baru tumbuh di belakang gigi susu Addin yang sedang bergoyang.

Hatiku berkecai. Broken heart.
Aku membayangkan bahawa anakku akan jadi tidak hensem kerana ada giginya yang tidak sebaris dengan gigi yang lain.
Lepas tu, mula la aku membebel (kecewa to the max) sebab si Addin takut mau cabut gigi sendiri.
Aku sampai tahap menunjukkan gambar gigi orang yang bersimpang siur (google dalam smartphone) bagi tengok Addin supaya dia jadi takut dan memahami kepentingan cabut gigi susu ketika gigi tu sudah bergoyang.  


At last, pada Ahad ketika makan tengahari, gigi tu tertanggal sendiri.
Aku simpan gigi tu baik-baik. Siap pesan dengan Addin nanti dia pun bakal pakai braces macam aku.
Addin menerima dengan rela hati. Hohohoho.

Hari ni, aku bawa Addin melawat dentist kesayangan kami.
Minta dentist check sambil tanya pendapat dentist berkenaan gigi kekal Addin yang berada di belakang.

Dentist: Jangan risau, gigi tu akan bergerak ke depan. Mula-mula gigi tu nak tumbuh memang kita nampak gigi tu berada di belakang. Cuma, kalau tengok sekarang, mungkin gigi tu akan senget sedikit. Basically adalah kerana genetik" .... (hohohoho... genetik siapakah itu. Sila blame diri sendiri)

Aku: Tapi nape saya nampak gigi tu macam besar je doktor? Muat ke dia nak fill in the blank?

Dentist: Jaw dia pun akan membesar juga. Jadi, jangan risau. 

Aku: Oooo... nasib baik.. saya dah risau dah.. so, doktor, gigi lain ada yang goyang jugak ke?

Dentist: Setakat ni belum lagi. Aturan gigi susu untuk gugur, mula-mula 2 gigi depan bawah (gigi kacip bawah). Lepas tu, 2 gigi atas (gigi kacip atas). Jadi, lepas ni kalau ada yang goyang, mesti gigi sebelah dia (gigi yang dah tertanggal tu). 

Aku: Dibuatnya doktor kalau gigi dia ni pun senget or besar ke, macamana ye doktor? Kena pakai braces ke macam saya? (Apa punya paranoid daaaa...)

Dentist: Takpe.. kita monitor dulu.. kalau nampak nanti gigi dia macam crowded tu, kita boleh bagi pakai alat supaya semua gigi tu ikut alignment dia. 

Aku: Oooo... jadi tak perlu pakai braces le doktor? Bila boleh pakai tu?

Dentist: Benda ni pre-orthodontic. Khas untuk budak-budak. Boleh pakai bila dah 10 atau 11 tahun. Time tu dia dah boleh ikut instruction. Sebab nak pakai ni kena disiplin.

Thank you Allah! Leganya aku. 

Moralnya di sini
  • Jangan panik kalau nampak gigi kekal tumbuh berada di belakang gigi susu. Itu adalah normal. Eventually, gigi tu akan bergerak mengisi tempat kosong yang ditinggalkan oleh gigi susu.
  • Cara membetulkan susunan gigi bukan hanya dengan menggunakan braces sahaja. Ada cara yang mudah especially untuk kanak-kanak. Khusus sebab jaw dan gusi dorang masih lembut. Harga pun tidak mahal. Murah berganda-ganda dari pakai braces.Cara pakai pun macam tidak complicated.  Nama benda ni ialah T4K - Trainer for Kids.
 

p/s: Sejak aku pakai braces, aku telah develop pemikiran yang over conscious dengan kesihatan gigi. Dan selalu berharap supaya anak-anak aku mengikut genetik abang Edi tang kecantikan gigi yang teratur dan saiz yang seragam. Mengenalkan anak dengan dentist sejak usia 3 tahun (si Zara la, si Addin time 5 tahun) supaya dorang tidak takut jumpa dentist (time aku Form 2 dulu, aku boleh siap sakit perut memulas-mulas dan sesak nafas sebab mau jumpa dentist ja.. gila.. penakut mau mampus). Dalam masa yang sama, aku selalu memastikan supaya si Addin dan Zara dibuat scaling secara berkala. 

Saiko jua aku ni eh...

Friday, March 8, 2013

Lawatan ke Penjara Kajang

Aku telah berlaku zalim kepada blog aku ni sendiri.
Rasa bersalah kerana meninggalkan blog ni 'sorang' for more than a month.
Salahkan diri sendiri kerana tidak pandai mencari masa untuk memasukkan entry.
(Kalau ada perkara yang sesuai untuk diblog, aku selalu merangka words yang mau dientry dalam minda.. tapi setakat tu ja la.. jarang dipanjangkan tindakan itu untuk dibawa ke blog aku ni.. duhhh)


Oleh itu, dengan ini, aku berazam untuk jadi rajin semula. At least 2 entry dalam masa sebulan :)

Kali ni mo cerita pasal lawatan outreach program ofis aku ke Penjara Kajang pada 2 minggu lepas.
Semoga menjadi pengajaran kepada kita yang membaca.

Lawatan ke Penjara Kajang ni bukan bertujuan untuk say hi hi bye bye kepada banduan2 di sana. Sama sekali tidak. Bos aku cakap, objektif lawatan adalah untuk menimbulkan rasa gerun dan insaf di hati kami2 yang sukarela (ada yang dipaksa) menyertai lawatan ini supaya mengelakkan diri dari melakukan kesalahan dan jenayah.

Itinerary lawatan
- Bertolak ke Penjara Kajang
- Melawat Pusat Rawatan dan Pemulihan Dadah
- Melihat hukuman sebat/rotan
- Melawat chamber (apakah chamber ini? jap pas ni bagitau)*tiada dalam itinerary asal
- Shopping di kedai souvenir penjara
- Makan tengahari


Ringkasan lawatan
  1. Sebelum masuk penjara, semua barangan peribadi kena tinggalkan dalam locker yang disediakan. No handphone, money and camera watsoever. 
  2. Banduan terbahagi kepada tempoh hukuman dan jenis hukuman. Dikenali berdasarkan warna baju. Contohnya, baju putih ialah banduan fasa 1 iaitu banduan baru. Fasa 1 ni kira macam orientasi. Hari-hari ada aktiviti kawad untuk penerapan disiplin.
  3. Pada Fasa 2, banduan akan dibahagikan kepada beberapa program pemantapan sahsiah seperti Halaqah dan Therapeutic Community (TC). Oleh kerana banduan group Halaqah ada program Maulidur Rasul hari tu, jadi kami pegi melawat banduan TC saja la. Salah seorang banduan TC ada bagi briefing. He is actually a graduate from UM, double degree, ada master, ada jawatan yang tinggi tapi tumpas kepada emosi menyebabkan beliau disabitkan kesalahan jenayah. Dalam TC ni, semua banduan diajar untuk membudayakan cara peneguran dan meluahkan rasa tidak puas hati dengan berhemah. Bilik mereka bersih dan ringkas. Setiap banduan hanya mempunyai satu container toyogo jernih untuk menyimpan barang-barang peribadi. Aku nampak ada yang simpan buku dan alat tulis. Moral: apabila dalam penjara, banduan dilatih untuk tidak mengikut kehendak (wants), tetapi hidup berdasarkan keperluan (needs). 
  4. Semua ruang dinding dan tembok penjara dihias dengan lukisan mural dan kata-kata semangat yang membina. Kebun jagung dan pokok hiasan dijaga rapi.
  5. Sesetengah banduan yang layak dilatih dengan kemahiran vokasional seperti grafik, menjahit, dobi dan lain-lain. Seorang kawan aku bagitau yang dia menghantar karpet ke Penjara Kajang untuk servis dobi with a very affordable price. 
  6. Hukuman sebat
    • Sebelum hukuman sebat dijalankan, semua banduan akan menjalani pemeriksaan kesihatan untuk memastikan mereka sihat. 
    • Ketika lawatan kami, hukuman sebat yang dijalankan ada untuk jenayah syariah, kesalahan imigresen, pengedaran dadah dan pecah amanah. Jenis rotan yang berbeza digunakan untuk jenis kesalahan yang berbeza. 
    • Hukuman rotan yang paling azab (berdasarkan pemerhatian aku) adalah hukuman kesalahan dadah. Jenis rotan yang tebal diayun tinggi bak menghayun kayu golf dan bunyi libasan seperti ketika Lee Chong Wei buat smash. Aku dengar ja pun tau orang yang kena memang terasa sakit tidak terkata.
    • Kesan rotan yang kuat meninggalkan birat yang akan kekal selama-lamanya di punggung pesalah.
  7. Chamber
    • Chamber ialah penjara di mana hukuman gantung dijalankan. 
    • Hukuman gantung dijalankan pada banduan akhir - selalunya atas kesalahan dadah serius dan pembunuhan. 
    • Berdasarkan penerangan pegawai penjara, banduan akhir menunggu lama untuk dijatuhkan hukuman. Sepanjang hukuman penjara mereka ditempatkan dalam sel yang kecil selama 23 jam dan diberi peluang untuk menghirup udara luar sel setengah jam di waktu pagi dan petang setiap hari. 
    • Setelah mendapat waran untuk dijatuhkan hukuman gantung, banduan akan dibawa ke sel akhir (bilik lebih luas dan terang dengan cahaya matahari), diberi keistimewaan untuk berjumpa ahli keluarga dan penasihat agama serta boleh request last meal. 
    • Hukuman gantung selalunya dijalankan selepas waktu subuh. 
  8. Selesai melawat chamber, kami berpeluang menjalani sesi Q&A dengan pegawai penjara. Di antara penerangan/nasihat yang aku ingat
    • Lawatan ke penjara sesuai untuk remaja yang bermasalah.
    • Sampaikan kepada ahli keluarga dan kawan-kawan untuk tidak melakukan jenayah. Sekiranya tertangkap, mungkin akan menyebabkan kita yang tidak bersalah juga mendapat tempiasnya. Contoh situasi, A dan B tinggal serumah. Polis mendapati A menyimpan dadah dan kebetulan B juga berada di rumah. Tak pasal-pasal B akan ditahan reman. Rekod B akan kekal menjadi rekod polis dan mungkin akan mengelapkan masa depan B (contoh: sukar untuk memasuki perkhidmatan awam).   
    • Banduan muda digalakkan untuk belajar dan mengambil peperiksaan penting. Ketika lawatan kami, ada 6 orang banduan yang sedang mengambil ijazah sarjana (master) dengan OUM. Semua yuran pendidikan disara oleh ahli keluarga banduan sendiri.
    • Banduan yang berkebolehan digalakkan untuk bergiat aktif untuk membantu banduan lain. Contoh, bekas pensyarah boleh mengajar, bekas lawyer boleh memberikan konsultansi etc.
  9. Kami sempat membeli ole-ole dari penjara. Produk penjara dikeluarkan dengan jenama My Pride. Aku beli frozen mini murtabak, frozen karipap dan rempeyek. Semua sedap. Kita juga boleh membuat tempahan perabot pada harga yang berpatutan (nampak macam lebih murah daripada harga pasaran). 
All in all, aku gembira kerana terlibat dalam lawatan ini. Berkesan menambah pengetahuan dan pengalaman dengan pendedahan luar biasa. Tidak pernah terfikir bahawa lawatan ni boleh dilakukan (possible).

Inisiatif bos kami ni perlu dipuji supaya kami sedar bahawa undang-undang Tuhan dan negara (walau direka oleh manusia) perlu dipatuhi. Sebagai penjawat awam, kita juga terdedah kepada kemungkinan jenayah dalam persekitaran pejabat yang boleh membawa kepada hukuman sebat seperti rasuah, pecah amanah dan penipuan. (Wanita tidak dikenakan hukuman sebat - kecuali jenayah syariah - tapi kalau dipenjara pun macamlah syiok sangat).

Akhir kata, jauhi diri dari jenayah.

p/s: Pernah terlihat di kaca tv, seorang bekas banduan berkata "Saya lebih rela miskin tapi bebas daripada kaya tetapi terkurung dalam penjara". Kebebasan ialah suatu nikmat.

Monday, January 14, 2013

Januari 2013

It's been more than a month.. woweee....
Lamanya tidak update blog...

Agak busy sebab sekarang sudah kembali ke pejabat.
Sebenarnya sejak 31 Oktober 2012 lagi.
Sempat sehari 'berenang' di pool JPA atau dengan kata rasminya Bahagian Penempatan Khas.

Tempoh awal penempatan - I was confused. Masih dalam mood cuti belajar lama :)
Lepas sebulan - baru nampak business process.
Sekarang - Sedikit selesa. Walaupun pening (kebetulan ada migration ke sistem baru)

Perbezaan sebagai pelajar tua sepenuh masa vs pegawai sepenuh masa

Pelajar tua sepenuh masa
- Kalau tiada agenda, boleh tidak keluar rumah untuk tempoh 7 hari berturut-turut dari Isnin ke Ahad (kecuali untuk tujuan hantar anak dan ambil anak dari sekolah) ---> mileage dan petrol meter untuk kereta Avanza aku memang nampak macam tidak bergerak sangat
- Selagi assignment/thesis tidak siap, selagi tu la kerisauan melanda jiwa 24/7 sampai masuk dalam mimpi.
- Disebabkan perkara di atas, jangan harap la aku dapat enjoy time bercuti. Fikir pasal study ja.
- Jarang mau kisah bila tarikh cuti umum.
- Merit dan credit dikira berdasarkan usaha kita sebagai pelajar dan hubungan dengan supervisor. Kalau rajin, pandai menulis, terang hati buat research - dapat ganjaran, siap awal. Jarang ada politik.  

Pegawai sepenuh masa
- Hari-hari Avanza aku jalan. At least seminggu sekali mesti isi minyak kereta.
- Kerja di ofis tidak siap, tapi tepat pukul 5.30 petang aku malas sudah mau banyak fikir. Besok pagi sambung. Jadi masalah pejabat jarang bawa ke mimpi :)
- Kalau cuti pun, aku enjoy tahap maksimum sebab cuti adalah keistimewaan (jarang dapat)
- Time kerja ni la, tarikh cuti umum adalah dalam senarai alert
- Merit dan kredit dikira atas pelbagai faktor. Cuba sedaya upaya untuk mengelak dari office politic. Yang penting, bos ok, anak buah ok, user ok. 

Itulah perbezaan nyata yang aku rasa.    
Suka dengan jabatan sekarang. Sebab aku rasa penyampaian perkhidmatan kepada rakyat tu terasa lebih rapat.
Tapi rasa tidak selesa untuk dedahkan dalam blog :) 

Tahun ni pun, Addin sudah masuk Darjah 1. Zara masuk tadika untuk 4 tahun.
Balik ofis, ambil anak di sekolah/transit --> sampai rumah, eklaurkan pakaian anak dari beg, pre-wash dan masuk washing machine.

Masa yang terisi, kerja yang disukai dan keluarga yang disayangi.
Syukur..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...